SEJARAH.
Kewujudan Daerah Nabawan sebagai salah sebuah daerah di pedalaman bermula di bawah status Pejabat Daerah Kecil pada tahun 1920, iaitu ketika pusat pentadbiran pada masa itu berpusat di Pensiangan. Jarak dianggarkan sejauh 115 kilometer dari Nabawan (Pusat Pentadbiran pada masa ini). Perhubungan utama ke Pensiangan pada masa itu ialah melalui sungai dan berjalan kaki, manakala Pegawai Daerah yang bertugas di Pensiangan pada masa itu dibekalkan kuda sebagai “kenderaan” untuk berulang-alik antara Keningau (Pejabat Residen pada masa itu) dan Pensiangan. Penolong Pegawai Daerah yang yang pertama bertugas di Pensiangan ialah Mr. I.C Peck.
Pusat Pentadbiran Daerah ini berpindah ke Nabawan pada tahun 1974, berikutan dengan penubuhan Skim Nabawan yang diwujudkan khas oleh kerajaan USNO. Tujuan penubuhan skim tersebut adalah untuk menempatkan orang-orang kampung dan para petani yang mengamalkan pertanian pindah-randah (Shifting Cultivation), terutama mereka yang tinggal di kawasan Pensiangan pada masa itu ke satu kawasan yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan dan membolehkan penduduk kampung ini tinggal menetap dalam satu kawasan.
Pemindahan yang dirancang untuk penduduk ke kawasan skim ini dengan kegiatan pertanian terancang seperti tanaman bermusim iaitu tanaman kopi dan sebagainya sebenarnya gagal mencapai matlamatnya. Kawasan skim yang diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Perikanan masih kekal dengan status Skim. Berdasarkan sejarah ringkas tersebut di atas inilah sebabnya daerah ini satu masa dulu lebih dikenali dangan nama Pensiangan sehinggalah sekarang ini nama Pensiangan masih juga digunakan selepas Nabawan – Nabawan, Pensiangan. Majlis Daerah masih menggunakan nama Daerah Pensiangan. Untuk makluman, mengikut sejarah bahawa nama Pensiangan adalah merupakan nama daerah ini dan nama Nabawan adalah yang baru berikutan pemindahan stesen pentadbiran. Dan kesimpulannya, Nabawan adalah pusat pekan dan pentadbiran, manakala Pensiangan adalah nama daerah.